‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Isnin, 14 Jun 2010

Taufan Melanda Kota Damansara: Sebuah Pengalaman Ngeri Penulis


Jun 13, 2010 (Ahad) - Kira-kira jam 6.00 petang, maza, darling, Nasrun (6 tahun) dan Aqlan (5 bulan) telah pergi ke Taman Rimba di Kota Damansara. Cadangnya mahu beriadah sambil melayan kerenah Nasrun dengan basikalnya.

Sampai di Taman Rimba, tiba-tiba langit berubah wajah. Dari cerah menjadi mendung. Gumpalan awan segera bertukar warna, dari putih menjadi kelabu.

Di sana-sini mula kedengaran guruh berdentum. Kemudian kilat sambar menyambar. Petir dan halalintar saling tingkah-meningkah.

Darling menurunkan basikal Nasrun. Baru sekayuh dua, keadaan semakin tidak mengizinkan. Kami terpaksa membatalkan niat beriadah di petang itu.

Bilangan para pengujung yang ada sudah mula menyusut. Masing-masing mengorak langkah ke kenderaan. Mahu pulang segera ke rumah.

Setelah semuanya siap dimasukkan kembali ke dalam kereta, maza turun sebentar mahu membeli aiskrim. Dua buah motor penjual aiskrim di situ sedia melayani keinginan kami sekeluarga.

Di dalam kereta, kami cuba menikmati aiskrim. Baru sahaja pintu ditutup dan beberapa jilatan ke atas aiskrim dibuat, hujan mulai menitis.

Mulanya rintik-rintik. Tiba-tiba melebat.

Maza melontarkan pandangan ke kanan. Makcik yang berniaga minuman di sebelah sedang terkejar-kejar berkemas. Tinggal meja lipat sahaja yang masih belum berusik.

Dalam terkial-kial itu, angin menerbangkan mejanya. Terbang melayang-layang ke udara. Kemudian lenyap di telan hujan.

Sekonyong-konyong itu juga satu pukulan angin kuat merempuh kencang. Menyerbu dan menampar-nampar tubuh berisi makcik. Makcik sedaya upaya menampan terjahan angin dahsyat itu. Dia sedang menongkah tipuan angin deras. Pintu kereta pemandu dipaut kuat. Dia cuba melawan dan bertahan.

Meja tadi yang hendak diselamatkannya terbiar terbang entah ke mana. Dibiarkan, yang penting nyawanya.

Angin semakin kuat bertiup. Hembusannya menyerbu ganas! Kuderat makcik semakin menyusut. Akhirnya makcik mengalah, lalu terjatuh di sebelah sana. Berguling di situ. Dan dalam sekejap itu juga maza tidak dapat melihatnya lagi.

Di hadapan sebelah kiri maza ada sebuah tandas. Di bangunan tandas itu terdapat juga kemudahan surau dan pejabat kawalan keselamatan. Beberapa manusia yang tidak sempat berlari ke kenderaan menjadikannya tempat berlindung.

Dua pakcik penjual askrim yang tadi terkial-kial membetulkan motosikalnya turut berlindung di situ.



Dalam keadaan kecoh dengan angin membadai kuat, maza ternampak mereka di dalam bangunan tandas itu sedang menjerit-jerit. Maza tidak tahu apa yang mereka jeritkan. Masing-masing memekik. Ekspersi muka menunjukkan seolah-olah dalam ketakutan yang amat dahsyat.

Ada beberapa orang di situ sudah mula melekat ke dinding, di tolak angin ribut.

Motor pakcik aiskrim tadi tumbang. Tong ais krim terangkat-angkat dari motornya. Seolah-olah mahu mengikut rempuhan sang ribut itu. Payung yang melekat di atas motor, sudah lama tidak berguna. Segala kain dan besi payung sudah terpisah. Tertanggal dari induknya. Ia rosak dipukul puting beliung tersebut.

Maza terpampan sendirian.

Serentak itu juga kami diselubungi oleh hujan yang maha lebat. Keadaan sekeliling memutih. Jarak nampak merosot teruk dan menjadi terlalu dekat. Jaraknya kurang daripada lima meter.

Kereta makcik yang jauhnya tiga kotak pakir di sebelah kanan itu juga hilang dari pandangan. Ia ditelan bulat-bulat di dalam lemas hujan maha lebat.

Manakala air hujan yang menujah kami kelihatan begitu kasar. Bersaiz besar-besar! Mencurah-curah bagai disirami dengan gayung.

Maza segera memandang ke hadapan. Pokok di hadapan maza bergoyang kencang. Pokok sebesar pemeluk itu sudah menggila. Melentok-lentok ke kiri dan kanan. Ritma dan alunannya makin lama makin pantas, cepat dan makin hebat. Tak ubah seperti peminat tegar musik metal-trash bikin headbanging di konsert-konsert besar!

Dahan-dahan rimbunan pokok itu sudah mula mencecah ke bumi. Pokok tersebut mula mengeluarkan bunyi berdetap-berdetup. Seperti ada dahannya yang sudah patah lalu longlai. Beberapa ranting dan dahan kecil sedang melibas-libas di udara.

Desiran angin bercampur hujan kasar semakin kuat. Menerjah ke corong telinga kami. Telinga kami dipenuhi degungan. Lalu ia mendatangkan perasaan takut; seram yang amat sangat!

Dalam pada itu juga kereta maza bergoyangan kuat. Seperti ada sesuatu lembaga merempuhnya. Atau ada tekanan tenaga yang mengoncang-goncangkan kereta kami.

"Ayah cepat jalan, ayah! Ayah cepat ayah!" Nasrun berteriak.

"Kejap lagi kita jalan. Sekarang ni tak boleh. Tak nampak jalan," jelas maza.

Darling cuba menenangkan si Nasrun yang sudah tidak karuan. Walhal Darling juga pucat. Apatah lagi dia paling hampir dengan impak angin ribut itu. Darling duduk bersebelahan pintu di belakang bersama dua anak maza. Dia dulu merasai impak hebat itu.


Mulanya maza fikir untuk terus berdiam di situ. Berlindung di dalam kereta. Tetapi setelah melihatkan angin bertiup garang dan amat kencang. Manakala pokok sebesar pemeluk di hadapan kereta ini sudah menggila. Takut-takut pokok itu pula mendatangkan mushibah kepada kami anak-beranak, maza mula bertindak.

Maza mahu mengundur keluar dari petak pakir. Kemudian berlalu meninggalkan tempat dilanda bencana ini.

Maza bersedia mengenderani kereta itu. Tetapi, tiba-tiba sahaja maza menjadi kaget. Panik dan tergamam seketika. Seolah-olah tidak tahu hendak mulakan yang mana satu untuk menggerakkan kereta. Walhal enjin kereta sudah dihidupkan. Maza hilang akal (idea). Namun maza teruskan menggodek-godek sendirian. Sambil mencari jawapan dan jalan keluar yang tiba-tiba menghilang.

Dalam terkial-kial itu, maza cuba mencari seluruh kekuatan. Mengambil nafas dalam-dalam. Bertenang untuk menyelamatkan keluarga ini.

Akhirnya ilham berkunjung tiba.

Maza masuk gear mengundur. Sedikit pendikit minyak ditekan. Tetapi kereta maza tidak mahu bergerak juga. Kereta menjadi berat! Seolah-olah ada kuasa menahannya di belakang daripada bergerak. Terasa seperti ada suatu 'tangan' yang menghalang kami.

Maza tekan pendikit minyak itu kuat lagi. Akhirnya, kereta mula bergerak perlahan-lahan. Enjin menderam-deram menentang bebanan yang dihadapinya.

Maza teruskan juga. Berusaha keluar dari situ walaupun jalan di hadapan tidak kelihatan. Atau kabur ditelan air hujan yang maha lebat dan kasar-kasar itu.


Kereta maza mula mengesot-esot maju ke hadapan. Angin tetap membadai ganas. Terus meronta-ronta dan bermain gila di situ.

"Ayah cepat ayah, kita balik!"

"Sabar Nasrun. Kita nak baliklah ni," jelas darling.

Tiba-tiba maza teringatkan sesuatu. Petua jika dilanda mushibah ini.

Tanpa berlengah, segera azan dilaungkan. Sepelusuk kereta kecil itu diterjah dengan laungan suara azan. Maza laungkan kuat-kuat! Merdu atau sumbang, belakang cerita...sudah tidak terlintas difikiran ketika itu.

Di dalam hati maza terus kejap berdoa, "Ya! Allah selamatkanlah kami daripada bencana dan malapetaka Mu ini. Ampunilah kami, Ya Allah! Ampunilah kami ..."

Doa maza terjawab, jalan di hadapan semakin kelihatan. Ia semakin jelas. Angin yang membadai semakin mengendur. Hujan yang mengulung-gulung melambakkan airnya ke bumi, mulai reda.

Tatkala habis bang, barulah maza perasan, wiper di hadapan kereta tidak terpasang. Manakala meja makcik tadi terperosok di tengah jalan raya sana.

Wiper kereta dihidupkan. Kemudian perlahan-lahan maza bergerak dari situ. Hujan masih lebat tetapi tidaklah selebat tadi.

Berdikit-dikit kami meninggalkan perkarangan pakir kereta itu. Di hujung bibir, di dalam hati tidak putus-putus meniti zikirullah.

Sebaik keadaan semakin reda, jelas tampak kesan rempuhan ribut taufan tersebut. Pokok-pokok bunga di taman itu habis lentur ke tanah. Banyak pokok yang besar tumbang. Ada yang bungkas dari bumi. Dahan-dahan bercerapang patah menyembah ke jalan. Beberapa motosikal tersembam ke bumi.


Makcik tadi rupa-rupanya selamat. Dia sempat berpaut dan masuk ke dalam keretanya. Dia berkurung di situ sehinggalah keadaan benar-benar selamat.

Maza teruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan maza pulang ke rumah itu, maza lihat jalan besar dihalangi oleh pokok tumbang.

Beberapa atap dari rumah agam dan teres berterbangan. Barangkali atap tambahan atau dari bumbung kebun bunga mereka.

Di atas jalan itu berselepah dengan ranting, dedaun dan dahan. Keadaan tak ubah seperti dilanggar garuda!


Air bah melimpahi jalan menambahkan kesesakan. Beberapa papan tanda yang besar dan kecil menjadi mangsa puting beliung kali ini. Mujur juga tiada jiwa yang melayang.

Akhirnya kami sampai ke rumah sejurus sebelum azan maghrib berkumandang. Alhamdulilah kami selamat...





blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails