‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Isnin, 5 Oktober 2009

Pepatih Karma Sudah Taubat?!...

Arakian tersebutlah kisah di sebuah Negeri Bilangan. Datuk Bendahara Tepuk Tangan bermuram durja.

Apalah durjana besar telah menimpa diri Datuk Bendahara Tepuk Tangan! Apalah pula bencana yang melanda! Sekarang ini bagaikan garuda menyerang Negeri Bilangan.

Jamban yang diberikan kontrak dan sub-kontrak kepada Pepatih Karma telah rebah ke bumi. Baru sahaja beberapa kali digunakan, jamban telah pun menyembah bumi. Yang bersisa, tegap berdiri, hanyalah pintu jamban sahaja. Yang lain semuanya tumbang sana-sini.

Mulanya Datuk Bendahara Tepuk Tangan tidak percaya kata-kata pengawal. Bukan sahaja itu, kata-kata juak-juak dan rakyat jelata juga tidak diambil kira. Orang ramai memang tahu Pepatih Karma suka memberi suap, makan suap dan menyuap.

Bukannya Datuk Bendahara Tepuk Tangan tidak percaya sepenuhnya. Tetapi bak kata orang tua-tua, 'diluah mati bapak, ditelan mati emak!'

Datuk Bendahara Tepuk Tangan juga amat fasih perihal dalam Negeri Bilangan. Bukan Pepatih Karma sahaja yang reti beri suap, makan suap dan menyuap. Temengung, Tun Khoja, Datuk Bendahari, Demang bahkan Laksamana dalam Negeri Bilangan juga pernah beri suap, makan suap dan menyuap! Dan mereka itu juga dari kerajaan pimpinan Datuk Bendahara Tepuk Tangan.

Masa Datuk Bendahara nak naik jadi menteri-menteri besar itu pun pernah juga menyuapkan orang. Juga dulu-dulu pun Datuk Bendahara ada juga menerima suapan. Bukan sahaja dari Pepatih Karma, tetapi hampir seluruh Datuk-datuk negeri!

Syahdan perihal mesyuarat agong tempoh hari hangat yang amat. Macam-macam aduan dan usul diberikan. Kononnya hendak memperbaiki kerajaan pimpinan Datuk Bendahara Tepuk Tangan.

Paling banyak aduan ialah perihal rahsuah. Rakyat Negeri Bilangan pun sudah bising kuat.

Jadinya secara rotarik Datuk Bendahara Tepuk Tangan telah berjanji untuk hapuskan rahsuah. Hari ini rakyat telah memintanya bersungguh-sungguh.

Datuk Bendahara Tepuk Tangan tersepit akhirnya. Kambing hitam perlu dicari untuk melegakan 'jerutan dilehernya itu'. Kalau tidak diredakan kemarahan rakyat dengan tuntutan mereka itu, jawabnya Bendahara Tepuk Tangan bersama-sama Datuk-datuk pengikut dan kerajaannya akan melingkup!

Tambahan pula perbuatan Pepatih Karma amat ketara dan menjolok mata. Hingga timbul rasa cemburu, curiga dan sakit hati pada pembesar-pembesar lain. Apatah lagi hamba rakyat juga sudah tidak senang duduk.

Hingga terdapat bukti-bukti kukuh Pepatih Karma memberi suap kepada orang agar memilihnya untuk mendapatkan kontrak membina jamban awam tersebut. Bahkan bukan itu sahaja. Dia juga pernah menyuap para perwakilan untuk memilih Pepatih Karma sebagai Datuk Mendalir.

Perihal itu amat tidak disenangi oleh Datuk Maharajalela. Lalu diadukannya kepada Datuk Bendahara Tepuk Tangan.

"Datuk Bendahara! Kalau kita diam dan pejamkan sahaja hal perbuatan Pepatih Karma ini, boleh sahaja memudaratkan kerajaan Datuk dan baginda sultan! Perbuatan Pepatih Karma terlalu mencemar dan bermain api. Tidak berselindung lagi. Patik rasa Datuk Bendahara, perlu lakukan sesuatu sebelum akar umbi membungkas lari! Dan kerajaan cengkaman Datuk Bendahara tumbang!"

"Baiklah Datuk Mahajaralela. Hal ini tidak boleh didiamkan. Kita perlu jadikannya kambing hatim. Agar rakyat kembali yakin. Dan menyelamatkan beberapa orang-orang kita. Kemudian kita berbuatlah untung selepas itu!"

Akhirnya Pepatih Karma dihadapkan orang ke majlis tatatertib. Lalu Pepatih Karma dilucutkan jawatan sebagai Penghulu Kampung Hulu. Pepatih Karma didenda dibuang daerah selama tiga tahun sahaja. Setelah itu Pepatih Karma boleh kembali ke daerah asalnya.

Tinggallah Pepatih Karma diam di Kampung Raya selama tiga tahun itu sambil menghabiskan sisa-sisa hukuman tataterbit yang demikian itu.

Setelah empat tahun di buang daerah, kembalilah Pepatih Karma ke kampung halamannya di Kampung Hulu itu.

Tidak lama kemudian Datuk Manjalela pun matilah. Maka jawatan Datuk Penghulu Kampung Hulu bergelar Datuk Manjalela itu kosong. Sekarang ini Sultan sedang sibuk mencari penganti kepada Datuk Manjalela.

Sementelah itu, di rumah Pepatih Karma, Pepatih Karma sedang berangan untuk kembali berkuasa. Apatah lagi juak-juaknya yang jadi pengikutnya dulu sedang berhimpun di luar rumah. Bukan ramai pun. Adalah dalam sepuluh orang daripada berjuta-juta hamba rakyat itu.

Syahdan Pepatih Karma pun terjun dari pangkin menuju ke rumah Datuk Bendahara Tepuk Tangan.

Di sana Pepatih Karma pun merafak sembah, menyusun jari sepuluh, bermerah mata hiba, memohon ampun dan berjanji tidak akan membuat onar lagi. Terutama perihal robohnya jamban yang diberikan kontrak oleh Datuk Bendahara itu.

Jamban tempoh hari itu roboh pun angkara Pepatih Karma kerana hendak sangat lekas siap, jimatkan kos dan modal. Lalu dikurangkan sukatan simen dan pasir. Juga beberapa gelegar pintu tidak dipasang. Akhirnya robohlah jamban itu setelah dua puluh kali digunakan orang.

Pepatih Karma buat demikian hal itu pun dikeranakan juga sediaan duit suapan kepada pembesar-pembesar negeri untuk meluluskan kontrak dan CF (Sijil Layak Duduk).

Melihatkan kesungguhan Pepatih Karma itu, Datuk Bendahara Tepuk Tangan jadi kasihanlah. Terutama mengenangkan Pepatih Karma bukan orang lain. Bekas juak-juaknya dan saudara bau-bau bacang Datuk Bendahara Tepuk Tangan juga.

Datuk Bendahara Tepuk Tangan pun mengajak Pepatih Karma masuk ke dalam; ke ruang seri rumahnya.

Sebaik duduk di atas tikar mengkuang, Pepatih Karma pun menyampaikan niat bahawa dia telah insaf dan bertaubat nasuhah tidak mahu berlaku mungkar lagi dengan Datuk Bendahara. Selepas ini dia akan menjadi pengikut setia yang amat kepada Datuk Bendahara Tepuk Tangan. Kemudian beberapa bingkisan diserahkan kepada Datuk Bendahara Tepuk Tangan. Katanya sebagai hadiah!

Melihatkan itu bertambah-tambahlah kasihan Datuk Bendahara Tepuk Tangan. Ketika inilah Pepatih Karma memberitahukan hajat sebenarnya yang dia ingin bertanding untuk jawatan Datuk Manjalela. Sekurang-kurangnya dia mahu membersihkan nama baiknya dan memperbaiki segala curangnya itu.

Pepatih Karma menyakinkan Datuk Bendahara Tepuk Tangan bahawa Pepatih Karma memang amat popular dan masih popular di Kampung Hulu. Bahkan Datuk Manjalela hanyalah berkuasa setelah Pepatih Karma dilucutkan jawatan masa pilihan raya lepas di kawasan Kampung Hulu itu. Kalau tidak, Datuk Manjalela tidak merasalah jawatan Penghulu Kampung Hulu.

Dan hingga hari ini, Pepatih Karma masih yakin dan angau bahawa rakyat Kampung Hulu masih menyukai dan menggemarinya sebagai ketua mereka.

Kemudian entah dari mana tiba-tiba di luar rumah Datuk Bendahara Tepuk Tangan terdengar suara orang memekik. Lebih sepuluh orang tapi kurang lima belas orang yang berbuat demikian.

"Hidup Pepatih Karma. Kami mahukan Pepatih Karma menjadi pemimpin kami lagi di Kampung Hulu ini. Kami mahukan Pepatih Karma menggantikan Datuk Manjalela memimpin kami!"


Datuk Bendahara Tepuk Tangan menggaru kepala.

"Datuk Bendahara, bagilah peluang kepada Pepatih Karma. Dia sudah TAUBAT! Dia takkan bagi Rahsuah! Dia tak makan suap lagi!"

Kata bijak pandai yang diam di sebelah rumah Datuk Bendahara pula, "boleh percaya ke Pepatih Karma sudah taubat? Bukan ke dia dulu kaki suap juga? Silap-silap hari bulan orang yang memekik itu pun sudah dibagi suap dahulu. Aku tengok semua yang datang tu pun bekas juak-juak dan muka orang luar sahaja!"

Datuk Bendahara Tepuk Tangan serba salah. Rasa gelisah, gundah. Duduk pun tidak senang bagai orang kena miang rebung. Silanya juga tidak betul macam orang kena bisul di riba.

Sekejap-sekejap ada orang Pepatih Karma datang ke rumah memujuk Datuk Bendahara. Kejap-kejap orang bercerita kepada Datuk Bendahara perihal jasa Pepatih Karma dan keyakinan populariti dulu-dulu hingga kerajaan Bendahara Tepuk Tangan kukuh.

Itu belum lagi kes anak-anak watan yang lain turut memohon dan menyerahkan surat percalonan diri nak bertanding jawatan Datuk Manjalela itu. Semuanya memeningkan kepala Datuk Bendahara Tepuk Tangan. Hati di sana perlu dijaga, hati di sini juga perlu dipelihara!

Akhirnya Datuk Bendaraha pun berkatalah, "Beginilah. Kita cuba nasih Pepatih Karma ajelah. Kita bawa dia ke pilihan raya menentang parti lawan itu."

Sekarang ini rakyat pula menjadi bingung! Yang barukah, lamakah atau pemimpin ulangan? Tidakkah akan berulang pagar makan padi?

Hari ini juak-juak dan orang-orang Datuk Bendahara sendiri terpaksa jugalah melaung-laungkan slogan, "Pepatih Karma Sudah Taubat."

Tetapi betulkah bertaubat nasuhah? Atau mungkinkah pisang berbuah dua kali?

Tapi kalau benar Pepatih Karma sudah taubat, wajarkah dia melaung-laungkannya? Ikut Al-Quran kalau orang itu sudah taubat, maka berpalinglah muka kita kepada mukanya. Tapi itu hukum persaudaraan dalam Islam. Kalau dalam hal memimpin, bagimana pula!?

ah! pening ... pening kepala.

Tapi rakyat marhain masih mengharapkan agar Negeri Bilangan kesayangan mereka tidak ditimpa gempa bencana murkaan Tuhan seperti tanah bergoncangan dan mengelusur di Padang sana. Sedang Padang itulah dulunya tempat asal usul keturunan mereka!

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails