‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 15 September 2009

Ramadhan: Kampung Cacing Episod Akhir.

Klik sini untuk lihat episod lalu; episod #1, episod #2, episod #3 dan episod#4


Malam tujuh likor telah membuatkan Kampung Cacing terang-benderang. Kalau mata salah hemat, mau dikirakan tiada malam melainkan siang belaka.

Setiap rumah dihiasi dengan lampu pelita. Tiang-tiang pelita dipacakkan di halaman rumah. Macam-mcam saiz dan ketinggian. Semuanya mengikut kreativiti tuan rumah. Tak kurang juga lampu kelap-kelip mengambil tempat tanpa menolak fungsi pelita di luar rumah.

Kalau petang hari pula kita boleh dengar sayup-sayup dari corong-corong radio. Di rumah-rumah kampung itu akan terdengarlah lagu-lagu raya yang dipasang kuat-kuat.

Orang perempuan sibuk dengan langsirnya. Baju raya kurungnya. Yang lelaki pula sibuk di laman dengan mengecat rumah, mencari kayu api dan sebagainya. Semangat untuk beraya jelas tampak benar.

Malangnya surau di kampung itu mengalami keadaan yang berbeza. Semakin hampir Hari Raya Aidilfitri, semakin ramai pula warga kampung melupakannya. Semakin kosong tak terbela surau itu. Orang kampung sudah tidak mengendahkan tarawikh, apatah lagi qaimulail. Mereka sudah lupa tentang malam lebih baik dari seribu bulan: lailatul qadar.

Anak-anak muda usah diperkirakan lagi. Perdu-perdu pokok menjadi sasaran untuk menyandarkan batang-batang meriam karbaib mereka. Yang lebih moden atau lebih berada sedikit sibuk dengan mercun yang bermacam-macam jenama. Thunder flash, mercun katak, mercun bom dan sebagainya mengambil tempat.

Ada pula emak bapak yang mengajar anak-anak kcil mereka bermain bunga api di laman rumah. Ada baru sahaja putus merangkak, sudah diperkenalkan bunga api. Jauh berbeza dengan rumah Imam Hamid. Anak-anaknya diajarkan takbir, tahmid dan terus-terusan berzikir.

Imam Hamid dengan beberapa orang AJK surau dan sanak saudaranya sahaja yang masih mengimarahkan surau di Kampung Cacing. Hanya beberapa kerat. Kalau dibilang dengan jari, nampak sangat jarangnya. Awal Ramadhan tempoh hari sampai ruang solat di surau itu menjadi sempit. Tidak muat sampai limpah ruah. Sampai semut untuk berlalu naik kaget takut dipijak hamba yang menghambakan diri kepada Tuhan.

Hinggakan ada desas-desus hendak membesarkan surau itu. Bahkan makanan yang disediakan untuk moreh acapkali menjadi rebutan dan sungutan. Terutama kaum hawa yang bersunggut, "Bedah, Peah, Siah dapat banyak moreh, aku tak dapat (atau sikit dapat) kuih moreh". Hingga dalam kes buruk ada yang merajuk ke surau gara-gara tak dapat makan moreh!

Bagi mereka yang masih setia dengan surau. Mereka akan terus berqiamul lail. Kali ini yang tinggal hanya tiga orang. Imam Hamid, Seman dan Pak Andak. Yang lain telah luput dari pandangan.

Jam dua pagi Imam Hamid terjaga dari lenanya di dalam surau tersebut. Dia turun ke bawah. Diputarnya paip air, air tidak mahu keluar. Di jengahnya ke dalam tong khas di situ. Tetapi airnya tidak kelihatan. Imam Hamid terasa aneh.

Kemudian Imam Hamid menyuluh dengan lampu picitnya ke dalam tong itu. Imam Hamid tercengang. Air di dalam tong itu membeku seperti air batu! Imam Hamid mengucap panjang...

Malam itu giliran Pak Naim berjaga. Tinggal enam orang sahaja yang sukarela menjaga kampung itu. Yang lain sudah lesap entah ke mana. Yang setia dan yang mengharapkan elaun untuk beraya terus setia menjalankan tugas itu.

Pak Naim, Adam dan Samsi satu kumpulan. Mereka meronda dari pos kawalan hingga ke surau.

"Eh! kau nampak tu?" bisik Adam. Entah macam mana lampu suluh Adam tersuluh ke semak sana. Senduduk di situ bergoyang-goyang.

"Aku nampak. Tapi apa tu?" Samsi mengiyakan.

Mereka mengamati peristiwa itu. Kaki mereka masih tetap terpacak di tepi jalan sempit tersebut.

"Jangan-jangan benda yang sama yang kacau Abang Miskam tak?" Adam membuat telehan sendiri.

Samsi dan Adam saling berpandangan. Pak Naim menelan air liur. Mata Pak Naim masih cuba menyiasat apakah bendanya itu.

Tiba-tiba dari semak tersebut mereka terlihatkan sekujur tubuh lembaga berbaju putih. Lembaga itu mahu bangkit dari semak. Lembaga itu jelas mahu menampakan dirinya yang sebenar.

"Annn...tooooo!!!! Tolong..." kini giliran Samsi dan Adam bertempiaran lari lintang-pukang. Tinggallah Pak Naim seorang diri. Keras, kaku.

Pak Naim tidak seperti mereka. Dalam diam di dalam hati, mereka itu dituduhnya pengecut oleh Pak Naim. Tetapi hakikatnya Pak Naim sendiri pun berpeluh. Tapi takkanlah dia mahu menggadaikan maruahnya sebagai Korperal Rela!

Pak Naim tabahkan diri. Apatah lagi sebaik teringatkan kata-kata Imam Hamid tempoh hari. Sejuk sikit hatinya. Debaran jantung dapat dikawalnya. Dan barangkali rezekinya untuk bertemu malaikat di malam berkat; lailatul qadar!

"Ah! Kali ini kau tak akan terlepas dari tangan aku. Kau cuba mengacau kami ya! Tempoh hari kau kacau Miskam. Dengan aku, jangan kau main-main. Celaka kau!!!" Pak Naim memasang kuda-kuda.

Lalu Pak Naim merempuh semak samun itu.

Lembaga berbaju putih masih menanti di situ. Terus pegun berdiam diri. Tidak berganjak, jauh sekali mahu melarikan diri. Seolah-olah lembaga itu bersedia menerima apa sahaja impak ganas Pak Naim!

Pak Naim semakin menghampirinya. Dia berlari laju, meluru ke lembaga tersebut. Sebaik menghampiri, segera dia menerkam. Pak Naim menerkam bagaikan harimau yang ganas. Harimau yang sudah dua minggu tidak makan. Harimau yang sedang berusaha mematahkan tengkuk mangsanya.

Berdebuk!

Terkaman Pak Naim berhasil. Segera dia menyerkup kepala lembaga tersebut dengan kain lembaga itu sendiri yang disandang di bahu.

Sepantas itu juga lembaga itu menjerit. Ia menjerit kuat!!! Bingit!

"Aku tahu asal usul kau. Aku tau. Aku tau! Aku cuma nak minta kaya! Aku nak kaya!.. Wahai malaikat aku mahu kaya!" pohon Pak Naim dalam gasarnya itu.

"Eh! eh! Aku bukan malaikat la. Aku bukan malaikat! Woi apa kau buat ni!"

"Kau jangan tipu. Aku nak kaya aje. Nak kaya aje"

Samsi dan Adam kembali semula ke tempat mereka bertemu hantu tersebut. Kali ini dia bersama orang-orang kampung. Mereka membawa segala apa yang tercapai di tangan. Ada yang membawa parang, kayu panjang, bluetie, pisau belati, tombak dan keris pusaka.

Mereka tidak mahu lagi membenarkan orang luar, atau pun makhluk asing sekali pun membawa onar ke kampung tercinta itu. Lebih-lebih lagi tinggal beberapa hari lagi mahu hari raya. Mereka tidak mahu mood hari raya musnah!

Masing-masing semakin berani. Sebaik terlihatkan Pak Naim sedang bergelut dengan lembaga itu Mereka menghampiri Pak Naim dengan cepat-cepat. Mereka mahu membantu teman sekampung itu. Koperal Rela Mohamad Naim Saat telah membuktikan kejantanan, ketaatan, kesetiaan dan keberaniannya.

Kini tibalah masanya mereka membantu Pak Naim. Mereka menyerbu bersama.

Habis makhluk itu dipukul mereka. Ditendang-tendangnya. Diflying-kick, dibeduk, ditenyeh. Kalau paling lembut pun sekadar mencubit-cubit daging makhluk asing tersebut.

Rayuan lembaga itu tidak mendapat belas simpati langsung. Hentaman demi hentaman diajukan.

Pak Naim masih tak putus-putus memeluk makhluk itu. Pak Naim cuba menghalang lembaga tersebut daripada melarikan diri.

"Tolong! Tolong.. tolonggg.. Janganlah. Jangan pukul aku" rayu lembaga itu.

"Pukul dia. pukul dia. Dia nilah yang membuat kacau. Dia nilah yang buat Abang Miskam terlantar. Ambil kau. Nah penangan dari aku." kata salah seorang dari orang kampung itu.

PANGGGG!!!! ...

Satu penangan menghinggap ke muka lembaga tersebut. Tak semena-mena kain yang diserkup di kepala lembaga itu terselak!

Maka terserlahlah muka lembaga tersebut.

Orang yang menampar tadi teranjak ke belakang. Dia menggigil. Ketar lututnya menyebabkan dia menyembah ke bumi.

Lalu dia memekik, "woi! Berhenti woi. Dah berhenti-berhenti!!!"

Mendengarkan seruan itu, hentaman yang dahsyat bertubi-tubi beransur susut.

Tapi Pak Naim masih melekap di tubuh lembaga itu. Dia tidak mahu melepaskannya lagi. Pelukan Pak Naim begitu pejap. Pak Naim masih mengulang-ngulangi 'doa' tulusnya itu.

Sebaik kain yang diserkup kepala lembaga tersebut melabuh ke tanah, mulut masing-masing mula terlopong.

Perasaan mula terasa berbalam-balam. Bercampur aduk. Ada rasa takut, malu, simpati, segan dan paling utama rasa bersalah.

"Kenapa kau orang pukul aku?"

"Kami ingatkan orang jahat tadi. Eh! Tapi ... kenapa Pak Imam ada dalam semak ni?" soal Pak Andak.

"Aku sakit perutlah. Air tak ada. Aku nak pergi ke Sungai Mengkibol tu ha. Nak cebok dan berwuduk. Tiba-tiba aku diserang."

"Naim! Naim. Sudah. Sudah tu! Imam ni la. Imam Hamid lah, Naim!!" Pak Andak cuba menyedarkan Pak Naim.

PakNaim masih tidak sedarkan diri. Mulutnya masih terkumat-kamit membaca doa hendak menjadi kaya itu.

Hanya setelah dia tercium haruman yang amat tidak enak dari akibat Pak Naim sendiri yang berguling-guling dengan najis Imam Hamid, barulah Pak Naim tersedar.

Sebaik tersedar Pak Naim malu amat sangat di atas perbuatannya itu. "Apalah Pak Naim. Lain kali check-lah betul-betul dulu. Kan dah Pak Imam kita jadi mangsa ni." rungut orang kampung dalam nada memberi nasihat.

Semenjak hari itu, Pak Naim telah berubah. Dia semakin rapat dengan Imam Hamid. Malah berguru pula dengannya.

Tetapi kesihatan Imam Hamid semakin merosot. Selama seminggu juga Imam Hamid berada di hospital. Ini bermakna Imam Hamid bertahmid dan bertakbir raya hari pertama di hospital. Dan Imam Hamid tidak dapat merasai ketupat dan rendang. Mulut dan mukanya bengkak.

Namun setahun kemudian rezeki Pak Naim menjadi pula. Hari ini dia benar-benar menjadi orang kaya baru (OKB) di Kampung Cacing. Jumlah rumah sewa Pak Naim sudah meningkat. Kutipan sewa rumah dan perniagaan kecil-kecilannya bagus.

Sekali lagi Pak Naim pergi naik haji. Tetapi bukan dia dan isterinya sahaja, malah anak dan beberapa orang kampung juga ditajanya.

Cuma Imam Hamid menolak tajaan tersebut. Katanya naik haji perlukan hasil usaha tangan sendiri. Entahlah..

Sekian.

SELAMAT HARI RAYA,
MAAF ZAHIR BATIN: untuk teman-teman blogers dan teman-teman maza semuanya...

Ingat! Hati-hati di jalan raya, jangan sampai kena saman!






blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails