‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 13 September 2017

ALIFF: AKHIRNYA KAU PERGI JUA

Isteri saya teresak-esak menangis. Hiba sungguh hatinya.

Anak-anak saya semuanya sugul seolah-olah mengerti hal keperitan keluarga yang sedang melanda.
Selama hampir dua bulan, isteri dan anak-anak membelai dan menyantuni Alif. Ditatang dengan penuh kasih sayang. Dibelai. Dimanjai. Alif itu bagaikan anak kandung isteri saya.

Alif anak angkat kami. Dia telah menjadi yatim semenjak lahir lagi. Alif hampir-hampir mati dibunuh ibunya sendiri. Dua beradik kembarnya sudah lama pergi dahulu mengadap Ilahi. Tinggal lagi Alif ditakdirkan diselamatkan oleh Aqlan Sholehin (anak saya berumur 7 tahun).

Ketika Alif hampir-hampir kehilangan nyawa, Aqlan adalah orang yang telah melindungi Alif daripada penyakit meroyan ibunya. Alif ketika itu masih bayi lagi, berumur dalam beberapa hari sahaja.

Aqlan telah membawa pulang Alif. Entah bagaimana isteri saya kali ini begitu bersimpati dengan Alif dan semenjak hari itu dia telah merawat Alif sepenuh jiwa raganya.

Aqlan jugalah yang memberikan nama Alif.

Alif telah disediakan tempat beristirahat yang istimewa sekali. Isteri saya sendiri tidak pernah umurnya, kali ini sanggup berhabis duit belanja sekolah anak-anaknya, membelikan kelengkapan Alif. Ini termasuklah botol susu dan susu khas yang berharga premium.

Alif dijaga dan dibelai dengan penuh kasih sayang. Pantang berbunyi, segera isteri saya merawatnya.

Gara-gara Alif juga, emak mertua saya pernah menegur isteri saya agar berpada-pada. Jangan disebabkan anak angkat ini, anak sendiri dan suami tidak terbela. Pernah emak cadangkan Alif diletakkan di luar. Tinggal lagi emak tidak tahu yang Alif sebenarnya tidur sebilik dengan kami. Kadang-kadang tidur dengan abang sulung angkatnya, Nasrun (13 tahun).

Balik hari raya haji tempohari, puas juga kami memikul dan mengusung bakul khas, susu dan botol susu Alif untuk pulang ke kampung. Sudah lama saya tidak buat kerja-kerja itu. Hik hik.

Tadi ketika saya dan isteri pulang dari menghantar pesanan "BEKAL", Nasrun dengan sugul memberitahu Alif sudah sampai hukum alam dan kembali ke rahmatullah. Alif juga telah selamat disemadikan berhampiran rumah kami. Menurut Nasrun, Alif meninggal tanpa mengetahui punca dan mati secara tiba-tiba.

Sebaik mendengarkan perkhabaran itu, isteri saya terus longlai. Menderu-deru air matanya tumpah. Setelah mendapatkan sedikit kekuatan, dia terus berlari ke atas rumah. Dia mendapatkan kain lampin dan bakul arwah Alif sambil mendakapnya penuh hiba.

ALLAHUAKBAR!

Siapa yang tak sayang anak, walaupun Alif itu ialah seekor anak kucing?
Selamat jalan Alif. Damailah kau di sana.


~rakaman kenangan saat Alif keletihan setelah puas bermain lalu tertidur dalam tudung periuk~

ALIF: Dalam Kenangan
*****
Saat dia menangis,
kami bergilir-gilir menyusuinya

Saat dia sakit perut dan buang air,
Kami bergilir-gilir cebukannya

Saat dia kesejukan,
Kami peluknya dan tidur bersama-sama

Saat dia perlukan belaian kasihnya ibu,
Isteri saya sedia memberikan kasihnya.

Damailah Alif di alam sana.

 nukilan hempedu

 

Sabtu, 8 Julai 2017

KEMUDAHAN TELEFON BIMBIT JADI KEPERLUAN SYARIKAT SEDIAKAN

TERIMA KASIH BOSS
********
Alhamdulillah pihak syarikat bermurah hati untuk membekalkan setiap seorang penyelia, eksekutif dan pengurus sebuah "handphone" baharu.

Syarat dikenakan juga standard dan mudah iaitu:-

1. dijaga jangan sampai hilang atau rosak
2. Segala bil ditanggung oleh pihak syarikat.

(Saya senyum gembira).

Selepas penyerahan kotak telefon bimbit itu barulah saya mendapati dan mengetahui bahawa:-

1) telefon ini tidak mempunyai data plan internet. Jadi, tidak boleh Whatsaap, FB, Youtube untuk bikin video 'iklan acah' (teaser) dan bermesra dengan Professor Google.

2) tidak mempunyai kamera untuk swafoto (selfie).

3)  hanya boleh dial ke nombor 03453225. Selain daripada rangkaian itu, anda akan berkomunikasi sendirian dan tiada siapa mahu layan.

4) tidak boleh SMS (ini parah).

Walkie talkie: 
sejenis alat telekomunikasi

Disebabkan itulah saya jarang berada 'atas talian internet' (online).

Saya sempat berterima kasih kepada pihak pimpinan syarikat sampai terzahir tersengih menyerengai.

~walkie talkie; sejenis telefon bimbit tanpa bil perkhidmatan talian dan penggunaan data internet~

hik hik
ammak satu kali

Jumaat, 7 Julai 2017

CONSENSUS THEORY vs CONFLICT THEORY

PENGURUS & KEPIMPINAN:
"Consensus Theory vs Conflict Theory"
******

Kedua-dua teori ini merupakan salah satu kaedah pengurusan gelagat organisasi/manusia. Teori ini mempunyai kaitan rapat dengan Pengurusan Sumber Manusia dan Kepimpinan.

Teori ini digunakan oleh pengkaji sosial (Sains Sosial dan Kemanusiaan) dalam menilai hubungan dan kaedah kepimpinan seseorang dan institusi.

Teori Konsensus (Consensus Theory)
_________

Teori ini mengutamakan penyatuan dan keberadaan dalam sesebuah masyarakat/organisasi.

Corak kepimpinan ini lebih kepada mencari kesepakatan dan tidak mengambil pusing tentang perubahan sedikit dalam sosial.

Suara majoriti menjadi keutamaan dalam membentuk penyatuan. Pengurus yg mengamal teori cenderung kepada tindakan kompromi berdasarkan rundingan suara majoriti. Mereka yang tidak berada dalam jemaah klan majoriti dikira "tersesat". Dalam kata lain teori ini menekankan "demokrasi" terpimpin.

Golongan ini menyasarkan kebersamaan dan penyatuan ummah dalam mencapai objektif.

Teori konflik (Conflict Theory)
__________

Berbeza dengan teori konsesus. Teori konflik menekankan kajian tentang jurang (gap) perbezaan. Asal teori ini disabitkan dengan Karl Mark, pengasas ideologi komunisme.

Konflik ini membicarakan garis pemisah darjat. Menekankan golongan dominan dan marhain. Mereka yang dominan (ketua autokratik, monarki) cenderung untuk mengekalkan kekuasaannya dan menjadi pemangsa untuk mengekalkan kedudukan mereka. Golongan marhain akan sentiasa dilihat sebagai mangsa.

Bagi mengekalkan kekuasaan, gologan pemimpin ini akan bertindak mengikut kepentingan mereka dan menekan orang bawahannya bagi mengekalkan kekuasaan, egoz portfolio dan status.

Dalam kata lain penganut teori konflik berkecenderungan untuk mencari dan membesar-besarkan perbezaan dan taraf. Tujuannya ialah "pengekalan kuasa".

~Anda seorang pemimpin dan anda memilih untuk berada dalam golongan mana?~

"Next: Ideologistik vs realistik?"
ammak satu kali

Isnin, 12 Jun 2017

KHURAFAT: PENIAGA RAMADAN KENA PEDAJAL

JANGAN SALAHKAN BANGSA SENDIRI KALAU KITA TIDAK MAJU!
***********

*Baca dan jadikan pedoman*


Pengalaman hari ini. Berniaga di Bazaar Ramadan seperti biasa jam 3.00pm Gua sampai kat tapak niaga. Alhamdulillah, hari-hari yang lalu perniagaan agak menggalakkan. Barangkali disebabkan BR1M, gaji dan bonus pengunjung bazaar telah keluar.

Seperti biasa, siap 'set-up' jam 3.45 petang. Nampak pengunjung sudah mulai ramai datang meninjau juadah berbuka. Gua bedoa agar rezeki hari ini juga seperti semalam atau lebih baik.

Lebih kurang jam 5.00 petang ada seorang peniaga yang selang 2 atau 3 gerai dari tempat Gua datang. Perlahan dia berbisik, "Abang tengok di bawah meja. Hari ni ada orang nak buat pedajal. Main tabur barang pula. Dia nak bagi kita rugi!"

Gua selamba tengok di bawah meja Gua. Berderau darah apabila terlihatkan serbuk putih di hujung kaki meja, tetapi bawah meja jiran sebelah lagi banyak!

Zaman teknologi dan Twitter ini masih ada lagi orang percayakan bomoh. Masih ada mengamalkan 'khurafat' walaupun pada bulan Ramadan.

Peluh dan amarah Gua mula melonjak. Gua calit serbuk putih tu. Kemudian Gua cium. Sah KAPUR BARUS.

'Lahabau, lahanat, jahanam punya orang. Nak untung sanggup khianat kat org lain,' Gua bermonolog sendirian.

Gua cuba bertenang. Masih ada lagi orang yang hendak untung dengan cara begitu.

Malangnya hati Gua tak mahu tenang. Sekejap-sekejap Gua tengok serbuk putih di kaki meja itu. 'Apa Gua nak buat ni?' Kata hati kecil Gua.

Cuak dan gemuruh semakin kuat menular dalam jiwa Gua.

Gua baca macam-macam ayat; minta simpang janganlah sampai perniagaan Gua hari ni melingkup.

Tak puas hati, Gua calit kali kedua. Cium. Memang sah kapur barus. 'Aduhai'

Gua suruh bini Gua jaga gerai. Gua ronda seluruh bazaar nak tengok berapa banyak gerai yang kena pedajal.

'Pergh,' bukan calang-calang orang yang buat begini. Hampir tiga suku gerai di bazaar ini ditabur kapur barus.

Gua pergi ke kedai orang lama, 'otai' bazaar di sini. Gerai dia pun kena tetapi Gua tengok muka dia selamba. Mungkin ilmu dia pun boleh tahan. Apatah lagi cincin batunya pun penuh 10 jari.

Kalau begini Gua menyerah diri dengan bertawakal. Banyak kuih dan lauk bini Gua sediakan pada hari ni. Harap sangat sekurang-kurangnya dapat balik modal.

Gua berdiam diri. Tidak sampai hati hendak beritahu dengan bini.

Sampai jam 6.30 petang Gua tidak bercakap sepatah habuk pun. Semangat berniaga hilang. Hanya bini Gua yang terus berniaga.

Alhamdulillah, rezeki masih memihak Gua. Kuih muih hampir habis. Laris seperti biasa.

Lagi 15 minit hendak berbuka datang seorang pegawai '3 paku' dan anggotanya dari Majlis Perbandaran. Mereka hendak memeriksa lesen dan tanya khabar peniaga.

Gua memang kenal sangat dengan pegawai ini. Hati gua cakap, 'apa-apa pun terjadi, Gua mesti beritahu yang ada orang tabur barang di bazaar ini.'

Gua terus tarik tangan pegawai ke belakang gerai.

"Tuan tahu, ada orang tabur serbuk putih kat bawah meja kami?" Kata Gua hampir berbisik.

"Saya tahu."

Bulat mata Gua! Tergamam.

"Tujuan Majlis tabur serbuk tu untuk elakkan  semut dan lalat. Ini eksperimen pertama. Kalau ok, kita akan teruskan."

Hik hik.

Selamat meneruskan ibadah puasa. Membeli juadah jangan sampai membazir

#Jangankecam

😝😝😝

Popia Basah Bekal di Bazar Ramadan, Seksyen 5, Kota Damansara (WhatsApp: 017-9608720)

Isnin, 5 Jun 2017

JENIS-JENIS KELUARGA


Seorang ustaz memberikan ceramah motivasi. Terdapat empat jenis keluarga:-

1. Jenis keluarga Nabi Nuh dan Nabi Luth, suaminya soleh, isterinya tidak.

2 . Jenis keluarga Firaun, isterinya solehah suaminya tidak.

3. Jenis keluarga Nabi Ibrahim, suami isteri soleh dan solehah. Anak keturunannya menjadi orang-orang yang soleh.

4. Jenis keluarga Abu Lahab, suami dan isteri yang bersama-sama derhaka.

Kemudian Ustaz bertanya, "makcik -makcik nak yang mana?"

Makcik-makcik pun menjawab, "keluarga Nabi Ibrahim!"

Kemudian Ustaz berkata, "keluarga Nabi Ibrahim itu isterinya ada 2, iaitu Siti Sarah dan Siti Hajar. Macam mana makcik-makcik?"

"Yuk, kita balik jom, jom, jom. Ustaz tu tak best." Balas makcik-makcik.

Hik hik
~ ammak satu kali~

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails